Sunday, January 11, 2009

Kerjaya Pilihan Saya

Mengikuti kamus dewan, perkataan “kerjaya” membawa maksud “profesion atau pekerjaan yang dipilih sebagai cara mencari nafkah”. Pada pendapat saya, memilih kerjaya adalah sesuatu perkara yang begitu penting sekali dalam hidup seseorang itu. Kalau kita hanya memilih tanpa berfikir masak-masak dahulu, kita akan menyesal jika membuat pilihan yang kurang memuaskan. Apabila membuat pilihan mengenai kerjaya, seseorang itu harus memikirkan tentang kebahagiaan dirinya, keluarganya dan juga keperluan perbelanjaannya.

Setelah mempertimbangkan factor-faktor ini, saya telah memilih untuk menceburi bidang pengurusan bisnes. Dalam bidang pengurusan bisnes, terdapat beberapa kategori. Pengurusan kewangan, pengurusan produksi, pengurusan strategik, pengurusan personel adalah antara kategori-kategori tersebut. Saya lebih minat dalam bidang kewangan dan itu adalah sebuah faktor besar yang mempengaruhi pilihan saya. Pilihan saya adalah pengurusan kewangan.

Antara tanggungjawab-tanggungjawab seseorang pengurus kewangan termasuk memberi dan menjelaskan informasi tentang situasi kewangan pemasaran, mengawas perbelanjaan syarikat dan sebagainya. Seorang pengurus kewangan penting bagi sesebuah syarikat itu supaya syarikat itu dapat membuat cadangan yang terbaik. Pengurus kewangan itu sepatutnya menolong dalam proses membuat cadangan supaya cadangan tersebut dapat memberi manfaat terhadap syarikat.

Seseorang yang mahu mendapatkan jawatan sebagai pengurus kewangan perlu mempelajari tentang bisnes atau pengurusan, ekonomi, kewangan, prinsip-prinsip perakaunan, ilmu hisab dan statistik. Selain dari itu, mereka harus memperolehi kemahiran dalam berkomunikasi dan dapat bekerja dalam secara kumpulan. Untuk menyediakan diri saya mulai sekarang, saya akan memastikan bahawa saya memberi perhatian kepada guru dalam kelas terutamanya bagi subjek ilmu hisab, bahasa Inggeris, bahasa Melayu dan juga guru bahasa yang ketiga yang saya mempelajari; bahasa Mandarin. Saya rasa bahasa adalah sesuatu yang penting bagi tiap-tiap bidang kerjaya.

Manfaatnya secara peribadi, ialah saya akan dapat tahu lebih tentang ekonomi dan kewangan. Ini adalah sesuatu yang tiap-tiap orang dewasa yang bekerja harus memahami kerana mereka semua orang mempunyai hal-hal kewangan peribadi yang harus diselesaikan. Manfaatnya terhadap negara adalah, jika saya membuat kerja dengan cara yang betul, syarikat saya boleh dapat keuntungan dan ekonomi Singapura juga mungkin dapat maju.

Tuesday, May 20, 2008

Berjalan Peliharakan Kaki, Bercakap Peliharakan Lidah

Khazanah emas yang telah diwarisi oleh nenek moyang kita tidak terkira bilangannya. Walaupun kebanyakan tidak mampu bertapak di dunia moden ini, peribahasa telah Berjaya untuk terus wujud dan dipraktikan oleh masyarakat Melayu. Ia adalah satu khazanah bahasa dan budaya masyarakat Melayu yang tidak lapuk dek arus pemodenan.
Peribahasa sering digunakan sebagai kiasan dan pengajaran untuk menghiasi perbualan. Perkataan-perkataan yang sering digunakan dalam peribahasa biasanya mengandungi unsur-unsur nasihat, sindiran atau peringatan. Dengan penggunaan kata-kata yang halus dan tepat susunannya, peribahasa mempunyai maksud yang tertentu. Contohnya, peribahasa, “ Berjalan peliharakan kaki, bercakap peliharakan lidah ” membawa maksud, “ Berhati-hati apabila melakukan atau memperkatakan sesuatu ”. Peribahasa ini dapat digambarkan dalam kisah berikut.
“Ish, susah payah aku hendak mencari skim yang sesuai,” kata Encik Isnin Mohamed Sohot.
Beliau bapa kepada tiga orang anak lelaki yang berumur dua puluh tahun, tujuh belas tahun dan tiga belas tahun. Anaknya yang sulung, Encik Mohd Firdaus adalah seorang mahasiswa tahun pertama di Universiti Teknologi Nanyang. Ini adalah perkara yang tidak boleh terjadi tanpa skim takaful.
Beberapa bulan lalu…
“Eh, lihat ini! Menurut lelaman ini, jika kita menyertai skim bernama “EzyCash”, kita mendapat banyak keuntungan!” kata Encik Isnin. Dia begitu tertarik dengan tawaran yang terpapar di skrin komputer ribanya itu.
“Tetapi bang…” isterinya, Cik Asmah, mula berkata “Menurut lelaman ini, langkah pertama yang kita perlu ambil selepas menyertai skim ini ialah untuk menghantar butir-butir kad kredit abang kepada syarikat tersebut! Tinggi risikonya menyertai skim ini! Mungkin ini syarikat palsu! Lagipun, hal ini tidak munasabah! Menurut tawaran ini, jika kita menghantar nombor PIN kad kredit bersama dengan nama penuh, kita akan menerima sepuluh ribu dolar. Siapa yang ingin memberi wang begitu sahaja? ” Cik Asmah berkata, melihat wajah suaminya.
Encik Isnin pula kelihatan seperti dia tidak terdengar kata-kata isterinya itu. Sepuluh ribu dolar. Beliau hanya dapat memikirkan perkara itu, tiada lain di buah fikirannya. Encik Isnin, tanpa berbincang dengan lebih lanjut dengan isterinya, bergegas melungsuri lelaman itu pada hari esoknya lalu mengisikan boring yang kelihatan di skrin komputernya.
“Dengan menyertai skim ini, saya akan menerima sepuluh ribu dolar! Dengan wang itu, barulah Firdaus akan dapat melanjutkan pelajarannya ke peringkat universiti” kata Encik Isnin.
Pada hari Rabu itu, ketika Encik Isnin hendak menggunakan kad kreditnya dia diberitahu kad kreditnya sudah
“Maaf Encik Isnin, tetapi kad kredit anda tidak boleh digunakan lagi!” kata seorang jurujual.
Encik Isnin begitu terkejut. Setahunya, beliau hanya menggunakan kad kreditnya apabila dia berasa perlu. Beliau tidak seperti orang lain terutamanya golongan muda yang sering menghabiskan wang dengan membeli barangan yang berjenama. Pada penghujung bulan itu, Encik Isnin menerima bil kad kreditnya. Ia mencecah lima puluh ribu dolar! Seperti bil-bil sebelum yang ini, ia mengandungi maklumat tentang apa yang Encik Isnin telah beli dengan menggunakan kad kredit itu. Encik Isnin terpegun melihat bil kad kreditnya. Beliau terperanjat melihat barang itu dibeli internet. Maklumat itu membuatnya menyedari bahawa dia telah ditipu. Dia menyesal. Dia teringat akan kata-kata isterinya.
“Lagipun, perkara ini tidak munasabah…!” suara Cik Asmah menghantuinya.
Dia tidak tahu bagaimana memberitahu isterinya yang tersayang tentang perkara itu. Perasaan kesal yang Encik Isnin alami membuat perangainya berubah dengan mendadak. Hanya dengan melihat wajah suaminya, Cik Asmah ketahui bahawa sesuatu perkara buruk telah berlaku atas suaminya.
“Mengapa abang pulang dengan muka yang tidak berseri-seri? Ada masalah di pejabat tadi?” Cik Asmah bertanya suaminya, dengan suara yang menandakan kebimbingannya.
Dengan wajah yang muram, Encik Isnin pun menceritakan masalahnya kepada isterinya. Isteriny aitu hanya mengangguk-angguk kepala mendengarkan cerita suaminya itu. Begitu banyak soalan yang ingin dia tanyakan tetapi lidahnya kelu. Perasaan marah, sedih dan bimbang semua bercampur. Tamak! Padanya, tindakan bodoh Encik Isnin hanya menunjukkan betapa tamaknya suaminya. Dia juga berasa malu. Dia berasa malu kerana kelakuan suaminya yang tidak diterima akal itu. Terlalu senang Encik Isnin tergoda oleh wang. Dia tergoda hingga dia tidak dapat memikir masak-masak. Encik Isnin juga tahu bahawa dalam perihal ini tiada sesiapa pun yang boleh membantunya kerana dia telah memberi maklumat tentang kad kreditnya. Oleh itu, dia tidak boleh meminta pertolongan dari sesiapa pun.
Peristiwa ini tidak dapat Encik Isnin dan keluarganya lupakan. Kini, mereka lebih berhati-hati apabila melakukan atau memperkatakan sesuatu. Itulah pengajaran cerita ini. Ingatlah, berjalan peliharakan kaki, bercakap peliharakan lidah.

Monday, May 19, 2008

Latihan Kata Sendi

Ini adalah lelaman web untuk kamu mencuba -> Latihan Kata Sendi